Aspek sejarah dan budaya Provinsi

Di Perancis, ungkapan en province masih cenderung bermaksud "di luar kawasan Paris". (Ungkapan yang sama ini juga digunakan di Peru, di mana en provincias bermaksud "di luar bandar raya Lima"). Sebelum Revolusi Perancis, Perancis terdiri daripada beberapa kerajaan (seperti Ile-de-France yang dibina di demesne Dinasti Capet yang awal), dengan sesetengah kerajaan ini dianggap sebagai 'provinsi', walaupun istilah itu telah dipergunakan dalam bahasa basahan untuk memerihalkan kawasan-kawasan yang kecil serupa manor (châtellenie). Bagaimanapun, Grands Gouvernements yang secara amnya merupakan bekas wilayah-wilayah feudal Zaman Pertengahan (atau aglomeratnya), paling biasa dirujuk sebagai 'provinsi'. Pada hari ini, Grands Gouvernements ini kekadang digantikan dengan en région disebabkan istilah itu kini dipergunakan sebagai satu peringkat sekunder kerajaan yang rasmi.

Dari segi sejarah, Fernand Braudel telah menggambarkan provinsi-provinsi Eropah — terdiri daripada banyak kawasan kecil yang digelarkan oleh orang-orang Perancis sebagai pay, dan oleh orang-orang Switzerland sebagai kanton, dengan setiap kawasan mempunyai identiti budaya tempatan dan menumpukan kepada sebuah pekan pasar — sebagai sebuah unit politik yang mempunyai saiz optimum pada zaman praindustri Eropah Moden Awal dan bertanya: "Bukankah provinsi merupakan 'tanah air' penduduk yang benar?" (The Perspective of the World (Sudut Pandangan Dunia) 1984, m.s. 284). Perancis, sebuah negara bangsa awal yang diatur secara pusat, juga akan berkecai menjadi provinsi-provinsi autonomi di bawah tekanan seperti krisis Perang-perang Agama (1562 - 1598) yang berterusan.

Bagi ahli-ahli sejarah abad ke-19 dan ke-20, "kerajaan terpusat" telah dianggap sebagai suatu gejala kemodenan dan kematangan politik dalam kebangkitan Eropah. Kemudian pada akhir abad ke-20, ketika Kesatuan Eropah merapatkan negara-negara bangsa, daya-daya memusat kelihatan bergerak menujui sebuah sistem yang lebih fleksibel dan yang terdiri daripada entiti-entiti yang bersifat kerajaan provinsi setempat di bawah payung Eropah. Sepanyol, selepas Francisco Franco, ialah sebuah negara kesatuan secara rasmi tetapi sebenarnya, berfungsi sebagai sebuah persekutuan yang terdiri daripada Komuniti-komuniti Autonomi, dengan setiap komuniti mempunyai kuasa yang berbeza (sila lihat Politik Sepanyol). Ketika Serbia, "punggung" bekas Yugoslavia, bertempur dengan pengikut-pengikut faham pemisahan di provinsi Kosovo, United Kingdom pada waktu itu sedang mengasaskan parlimen-parlimen tempatan di Scotland, Wales, dan Ireland Utara )1988) di bawah prinsip politik, "penurunan kuasa".